28 April 2023

10 Perkara Watikah Para Ulama

 
Maka dengan ini, berikut adalah Watikah Para Ulama dari Festival Sunnah 5.0 kepada sekalian ummat…

1. Hendaklah setiap diri, keluarga dan masyarakat diikat kecintaan mereka kepada Allah dan Baginda Rasulullah.

2. Hendaklah menghidupkan majlis mahabbah Rasul di seluruh peringkat masyarakat dalam kalangan lelaki dan wanita, samada secara kecil atau besar agar subur akhlak Muhammadiah yang penuh cinta dan kasih sayang dan berpaksikan Syariat serta bersulam adat dan Budaya Bangsa.

3. Hendaklah kita membina kesatuan ummat atas akidah ahlusunnah wal jamaah Asyariyah dan Maturidiah, Fiqh Imam Syafiee dan mazhab yang muktabar, Tasawuf Imam al Ghazali, al Junaid dan ulama-ulama Tasawwuf yang muktabar

4. Hendaklah kita mencintai majlis ilmu, solat berjemaah di masjid, membaca Al Quran, berselawat, berzikir, sedekah, mencintai anak yatim fakir miskin, membantu ibu tunggal, memuliakan ibu bapa, para Guru, memelihara silaturahim, hidup berkasih sayang, saling memaafkan dan saling berlumba-lumba mengerjakan kebaikan.

5. Hendaklah sekalian dari kita memahami bahawa, Islam di bumi Nusantara ini dibawa oleh ulama para Sufi hingga terbentuk Tauhid Makrifat yang murni, akhlak yang mulia dan peradaban yang hebat. Ajaran Tasawwuf perlu kembali menjadi pakaian bangsa ini agar terbangun kembali kekuatan membina Peradaban yang unggul.

6. Hendaklah antara kita belajar ilmu ASWJ dan fekah, kemudian berdagulah di bawah para pewaris Rohani Rasulullah yang haq menyucikan jiwa agar memiliki Tauhid Sufi (Ihsan) yang murni dan akhlak Muhammadiah yang mulia.

7. Hendaklah antara kita menjauhi segala perdebatan khilafiyah, muliakan semua ulama dan perguruan, hormati perbezaan dan kepelbagaian aliran Ilmu dan jemaah yang berteraskan ahlus sunnah wal jamaah.

8. Hendaklah kita jauhi sifat melampau dalam apa jua perkara, bergerak dengan penuh cinta, keserdehanaan, damai dan harmoni, mematuhi segala peraturan dan perundangan, memelihara adat, budaya dan warisan serta merangkul kasih pelbagai kaum dan agama di mana sahaja wilayah kita berada.

9. Hendaklah antara kita mencintai perjuangan para leluhur, mengetahui sejarah dan mencintai menziarahi makam-makam mereka, makam para aulia dan mereka yang berjasa dalam perjuangan Agama, Bangsa dan Tanah Air.

10. Hendaklah kita saling mendokong Festival Sunnah di mana jua demi memupuk Mahabbah Rasul dalam kalangan ummat. Dengannya akan lahir Akhlak Muhammadiah pada pelbagai lapisan golongan masyarakat. Dari jiwa pencinta Rasulullah ini, moga dengannya akan bangkit kembali peradaban Islam pada Bangsa, Negara dan seluruh rantau dalam wajah penuh rahmatan.

Sumber : Samudera.my
  

No comments:

Post a Comment