26 June 2020

Adakah Penyakit Ain benar?


Penyakit Ain ialah sejenis penyakit disebabkan pandangan mata (dan jiwa).
  • Pandangan (mata) yang disebabkan kagum dan teruja dan disertai dengan sedikit sifat cemburu juga boleh menyebabkan terkena penyakit ‘ain mengikut Ibn Hajar al-‘Asqalani. (Lihat Fath al-Bari, 10/200)
  • Menurut Ibn al-Qayyim: “(Pandangan) Jiwa orang yang menjadi penyebab ‘ain boleh menimbulkan ‘ain tanpa hanya dengan penglihatan.
    • Bahkan kadangkala ada orang buta, kemudian diceritakan mengenai sesuatu kepadanya lalu jiwanya boleh menimbulkan ‘ain walaupun dia tidak melihat sesuatu itu. Ada banyak penyebab yang boleh menyebabkan terjadinya ‘ain, hanya dengan cerita tanpa melihat.” (Lihat Zad al-Ma’ad, 4/149)
Dianjurkan : 


Penyakit ‘ain adalah thabit di dalam nas-nas syara’. Allah SWT berfirman:

وَإِن يَكَادُ الَّذِينَ كَفَرُوا لَيُزْلِقُونَكَ بِأَبْصَارِهِمْ

Maksudnya: Dan sesungguhnya orang-orang yang kafir itu, hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkanmu dengan pandangan mereka (yang penuh dengan permusuhan dan kebencian), Surah al-Qalam (51)

Ibn Abbas, Mujahid dan lain-lain berkata: (لَيُزْلِقُونَكَ) bermaksud mereka hendak menggelincirkan. (بِأَبْصَارِهِمْ) "Dengan mata mereka, maksudnya mereka dengki kepadamu kerana kebencian mereka terhadapmu. Seandainya bukan kerana perlindungan dan pemeliharaan Allah pada dirimu dari mereka (nescaya engkau tidak selamat)

Di dalam ayat ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa sasaran dan pengaruh "mata" benar-benar nyata adanya atas perintah Allah SWT. Sebagaimana disebutkan dalam beberapa hadis yang diriwayatkan dari pelbagai jalan yang banyak. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 8/260)

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

الْعَيْنُ حَقٌّ

Maksudnya: “Al-‘ain itu adalah haq (benar).”

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

الْعَيْنُ حَقٌّ وَلَوْ كَانَ شَىْءٌ سَابَقَ الْقَدَرَ سَبَقَتْهُ الْعَيْنُ وَإِذَا اسْتُغْسِلْتُمْ فَاغْسِلُوا

Maksudnya: Al-‘Ain itu haq (benar). Jika ada sesuatu yang menjangkaui qadar maka ‘ain lah (yang dapat menjaungkauinya). Jika diminta kepada kamu untuk mandi (untuk penyembuhan), maka mandilah. Riwayat Muslim (5831)

Imam al-Nawawi berkata: “Pada hadith ini terdapat ithbat keimanan pada takdir Allah SWT dan benarnya perkara ‘ain (penyakit ‘ain) dan bahawa ia sangat berbahaya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/328)

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani pula berkata: “Maknanya ialah orang yang ditimpa bahaya kerana sesuatu yang telah Allah SWT tetapkan ketika seseorang memandangnya, hakikatnya terjadi dengan takdir Allah SWT yang telah ditetapkan sebelumnya, bukan sesuatu yang baru sahaja diciptakan oleh orang yang memandang terhadap yang dipandang.”

Penyakit ‘ain ialah penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai sifat iri atau rasa takjub terhadap apa yang dipandang. Ianya boleh terjadi sama ada dari orang yang dengki atau orang yang dicintai, dari orang yang jahat atau orang yang soleh.

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata: “‘Ain adalah pandangan hasad daripada tabiat yang buruk yang boleh menyebabkan mudarat pada orang yang dipandangnya.”

Beliau turut berkata: “‘Ain boleh terjadi dengan rasa takjub walaupun tanpa ada sifat iri dan hasad, (boleh juga terjadi) walaupun daripada orang yang mencintai dan (walau) daripada seorang yang soleh (tanpa disengajakan).” (Lihat Fath al-Bari, 10/203-205)


Rawatan Penyakit ‘Ain

Sekiranya seseorang terkena penyakit ‘ain, berubatlah dengan rawatan secara syar’ie, iaitu:

* Dibacakan ruqyah atau doa.

Daripada Buraidah bin Al-Husyaib R.A, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ رُقْيَةَ إِلاَّ مِنْ عَيْنٍ أَوْ حُمَة

Maksudnya: “Tidak ada ruqyah (yang lebih bermanfaat), kecuali untuk penyakit ‘ain, atau penyakit yang diakibatkan sengatan binatang berbisa..”

Riwayat al-Bukhari (5705) dan Muslim (220)


* Dimandikan dengan air.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Umamah bin Sahl bin Hunaif, beliau berkata: Amir bin Rabi’ah melewati Sahl bin Hunaif ketika dia sedang mandi, lalu Amir berkata: “Aku tidak melihat seperti hari ini, kulit yang lebih mirip (keindahannya) dengan kulit wanita yang dipingit.” Tidak berapa lama kemudian Sahl terjatuh, lantas beliau dibawa kepada Nabi SAW, lalu dikatakan: “Selamatkanlah Sahl yang sedang terbaring sakit.” Baginda SAW bersabda: “Siapa yang kamu curigai telah menyebabkan ini?” Mereka berkata: “Amir bin Rabi’ah.” Baginda SAW bersabda:

عَلاَمَ يَقْتُلُ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ ، إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ مَا يُعْجِبُهُ ، فَلْيَدْعُ لَهُ بِالْبَرَكَةِ

Maksudnya: “Kenapakah salah seorang daripada kamu membunuh saudaranya? Seharusnya apabila salah seorang daripada kamu melihat sesuatu pada diri saudaranya yang menakjubkan, hendaklah dia mendoakan keberkatan untuknya.”

Kemudian Baginda SAW meminta air, lalu menyuruh Amir untuk berwudhu’. Amir mencuci wajahnya, kedua tangannya sampai ke siku, dua lututnya dan bahagian dalam kainnya. Nabi SAW memerintahkannya untuk menyiramkan (bekas air wudhuknya) kepada Sahl. Sufyan menyebut, Ma’mar berkata, daripada al-Zuhri: “Baginda SAW memerintahkannya untuk menyiramkan air dari arah belakangnya.”

Riwayat Ibn Majah (2828), al-Nasa’ie (10036)

Ibn al-Qayyim Rahimahullah berkata:

هَذِهِ الْكَيْفِيَّةُ لَا يَنْتَفِعُ بِهَا مَنْ أَنْكَرَهَا وَلَا مَنْ سَخِرَ مِنْهَا وَلَا مَنْ شَكَّ فِيهَا أَوْ فَعَلَهَا مُجَرِّبًا غَيْرَ مُعْتَقِدٍ

“Cara pengubatan ini tidak akan dapat mengambil manfaatnya bagi orang yang mengingkarinya, orang yang mempersenda-sendakannya, orang yang meragukannya atau yang melakukannya sekadar cuba-cuba tanpa meyakini.” (Lihat Fath al-Bari, 10/205)
 
Semoga memberi manfaat. آمین

اَللّٰهُ أَعْلَم
 
   

No comments:

Post a Comment