KUALA LUMPUR, 28 Februari 2022 – “Antara kesan sampingan yang perlu diberi perhatian sekiranya dialami lebih daripada tiga hari ialah demam, sakit kepala, sakit perut, loya, muntah dan ruam berbintik merah pada badan kerana mungkin simptom kepada Vaccine Induced Thrombotic Thrombocytopenia (VITT) iaitu darah beku dalam salur darah vena.”
Selain itu, sesak nafas dan bengkak kaki juga perlu diberikan perhatian sekiranya terjadi selepas pengambilan dos penggalak kerana ia juga antara tanda awal pembentukan darah beku di mana-mana bahagian badan kita, menurut Perunding Hematologi Hospital Ampang, Dr Veena Selvaratnam.
Tambah beliau, golongan yang berisiko mengalami VITT adalah mereka yang menerima vaksin jenis adenovirus terutama yang berusia 30 hingga 50 tahun serta mereka yang pernah mempunyai sejarah mengalami masalah pembekuan darah.