04 December 2020

Sejarah amalan sihir di zaman para Nabi menurut sumber tafsir dan hadis


PENGENALAN

Perkataan 'sihir' diambil daripada kalimah Arab iaitu Sahara yang mempunyai beberapa erti.

Kamus Dewan mendefinisikan 'ilmu sihir' sebagai sejenis ilmu ghaib yang meliputi guna-guna, pukau, tuju, mantera dan lain-lain yang boleh menyakiti dan mempesona orang.

Black magic merupakan perkataan bahasa Inggeris yang seerti dengan 'sihir'. Kamus Oxford mendefinisikannya sebagai ilmu sihir yang melibatkan bacaan jampi mentera untuk memanggil semangat jahat.2

Selain daripada kamus, makna dan pengertian sihir juga boleh diperolehi daripada kitab-kitab tafsir 
dan hadith. Terdapat tiga defmisi sihir sebagaimana yang dikemukakan oleh Ibn Hajar al-'Asqafeni seperti berikut:

i) Bayangan dan khayalan ataupun gambaran yang hakikatnya tidak wujud sama sekali.

ii) Sesuatu yang dihasilkan oleh ahli sihir dengan pertolongan atau bantuan jin, setelah ahli sihir tersebut memenuhi kehendak syaitan atau menyembah, merendah diri atau menyediakan jamuan yang disyaratkan oleh syaitan.

iii) Sesuatu yang tersembunyi tempat pengambilannya. Perkataan ini juga bererti setiap perkara yang tersembunyi puncanya dan tergambar bayangan atau khayalan sesuatu yang tidak wujud sebenarnya.

Al-Baydawi mentakrifkan sihir sebagai sesuatu yang dihasilkan dengan cara mendekati syaitan.
Manakala al-Alusl pula berpendapat bahawa perkataan "al-sihr" adalah kata terbitan daripada kata kerja Sahara'. 

la bermaksud apabila nyata apa yang tersembunyi. 

Sihir adalah perkara ajaib, tetapi bukan mukjizat kerana ia boleh dipelajari dan diperolehi menerusi bantuan syaitan. 

Selain daripada itu, ia merupakan hasil amalan bertaqarrub kepada jin atau lebih umumnya syaitan. 

Taqarrub ini terhasil melalui tiga cara:

i) Perkataan - seperti jampi yang mengandungi unsur-unsur syirik serta memuji-muji syaitan kerana pertolongannya.

ii) Perbuatan - seperti menyembah cakerawala, sentiasa melakukan dosa dan kefasikan.

iii) Iktikad - seperti menganggap baik amalan yang dilakukan untuk mendekati syaitan dan mengasihinya.

Ilmu sihir dikatakan wujud di dalam sejarah umat manusia sejak zaman dahulu kala lagi. 

Fenomena ini bukan sekadar fobia atau fantasia, tetapi ia merupakan satu realiti dalam kehidupan manusia sejagat. Malah Allah SWT telah berfirman di dalam kitab suciNya al-Quran tentang beberapa kisah sihir terutamanya yang berlaku pada zaman Nabi Musa a.s. 

Ia boleh diteliti dan difahami melalui surah al-Baqarah, Yunus, Taha dan al-A'raf. Begitu juga dengan hadis-hadis Rasulullah s.'a.w. yang telah diriwayatkan oleh para sahabat tentang kisah baginda Rasulullah s.'a.w. terkena sihir. 

Di samping itu, mereka turut meriwayatkan panduan untuk umat Islam mengatasi masalah tersebut dan juga melindungi diri daripada terkena sihir. 

Walau bagaimanapun, artikel ini hanya menumpukan perbincangan mengenai sejarah amalan sihir pada zaman Nabi Sulaiman a.s., Nabi Musa a.s. dan Nabi Muhammad s.'a.w. berdasarkan sumber kitab-kitab tafsir dan al-Hadith yang ada.


SUMBER ASAL-USUL SIHIR

Al-Quran merupakan kitab rujukan utama umat Islam dalam apa jua bidang sama ada bidang keagamaan ataupun sains. 

Surah al-Baqarah, ayat 102 menceritakan bahawa amalan sihir ini lahir di dalam sejarah umat manusia apabila dua malaikat iaitu Harut dan Marut mengajar ilmu sihir kepada manusia. 

Peristiwa ini berlaku ketika Harut dan Marut diturunkan ke bumi oleh Allah SWT untuk diuji keimanan mereka setelah mereka dibekalkan dengan nafsu syahwat. 

Walau bagaimanapun, para mufassirun (ahli tafsfr) mempunyai pendapat yang pelbagai dalam mentafsirkan kisah Harut dan Marut dan ia bergantung kepada sumber rujukan mereka di dalam mentafsirkan kisah di sebalik firman Allah SWT berikut:

Maksudnya:
"Mereka (membelakangkan kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak syaitan dalam masa pemerintahn Nabi Sulaiman a.s., padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran ini, tetapi puak-puak syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua Malaikat; Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang 
melainkan setelah mereka menasihatkannya dengan berkata: "Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), sebab itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)." (Al-Baqarah (2): 102).
Menurut al-Baghawl,6 perkataan 'Harut' dan 'Marut' adalah nama bagi orang Siryani. 

Di sebalik penurunan ayat ini, Ibn 'Abbas mengulas bahawa para malaikat di langit merasa hairan dan janggal apabila melihat amalan mungkar umat Nabi Idris a.s. yang dinaikkan ke langit. 

Para malaikat berkata kepada Allah SWT: "Engkau telah memilih dan menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi, sedangkan mereka mendurhakai Engkau. 

Lalu Allah SWT berfirman: "Jikalau Aku kurniakan nafsu syahwat dan menurunkan kamu ke bumi, nescaya kamu juga akan menjadi seperti mereka."

Para malaikat menjawab: Maha suci Engkau! Sememangnya tidak wajar bagi kami mendurhakai Engkau. 

Allah SWT berfirman: "Pilihlah dua orang yang terbaik di kalangan kamu. Aku akan turunkan mereka ke bumi dengan mengurniakan nafsu syahwat kepada mereka." 

Lalu para malaikatpun memilih 'Azail (Harut) dan 'Azaya (Marut).

Kemudian Allah SWT turunkan mereka ke bumi dengan lima perintah.

Pertama; mereka mesti berlaku adil, kedua; tidak boleh mensyirikkan Allah, ketiga; mereka dilarang membunuh tanpa hak, keempat; mereka dilarang berzina dan kelima; mereka dilarang meminum arak.

Qatadah mengatakan bahawa dalam masa yang singkat iaitu tidak sampai satu bulan mereka telah gagal menunaikan perintah tersebut. 

Kegagalan itu berpunca daripada seorang wanita. 

Mereka telah diuji dengan seorang wanita yang paling cantik pada ketika itu, Zahrah. 

Harut dan Marut telah jatuh cinta dengan Zahrah dan ingin memilikinya. 

Zahrah telah mengenakan beberapa syarat kepada mereka jikalau mereka berhasrat untuk memilikinya, iaitu mereka mestilah melakukan tiga perkara berikut:

i. Menyembah berhala.

ii. Membunuh.

iii. Meminum arak.

Pada mulanya, mereka tidak bersetuju untuk melakukan ketiga-tiga perbuatan tersebut kerana kesemuanya tersenarai dalam senarai larangan Allah SWT. 

Walau bagaimanapun, mereka tewas dengan keinginan yang kuat untuk memiliki Zahrah.

Akhirnya mereka terjebak ke dalam kancah maksiat apabila Zahrah datang kepada mereka buat kali yang ketiga dengan tawaran agar mereka meminum arak.

Mereka telah menerima tawaran tersebut. 

Rentetan daripada perbuatan mungkar tersebut, iaitu meminum arak, mereka telah berzina pula dengan Zahrah apabila mereka mabuk. 

Perbuatan mungkar ini telah disaksikan oleh seorang lelaki. Oleh itu, lelaki tersebut dibunuh bagi menutup rahsia mereka daripada terbongkar. 

Al-Rabi' Bin Anas mengatakan, mereka juga telah menyembah berhala.

Kemudian Harut dan Marut mengajar amalan bacaan wirid nama-nama Allah al-a 'zam yang membolehkan dia naik ke langit. 

Perbuatan tersebut menambahkan lagi kemurkaan Allah SWT. 

Lantas kedua-dua mereka meminta syafaat dari Nabi Idris a.s.

Akhimya Allah SWT telah memberi dua pilihan kepada mereka; azab dunia ataupun akhirat. 

Mereka memilih azab dunia kerana ia akan berakhir. 

Oleh itu, mereka diturunkan ke Babil untuk diazab.

Ada pendapat yang mengatakan, Babil terletak di Iraq dan satu lagi pendapat mengatakan, ia terletak di Damarwan.

Para mufassir telah berselisih pendapat tentang cara Harut dan Marut diazab.

Terdapat empat pendapat yang masyhur:

i) Abdullah bin Mas'ud berpendapat, mereka digantung dengan rambut masing-masing sehingga hari kiamat.

ii) 'Ata' bin Abl Rabah pula mengatakan bahawa kepala mereka direndahkan ke bawah sayap.

iii) Qatadah menyebut, kaki mereka dibelenggu.

iv) Mujahid menceritakan, mereka dihumban ke dalam telaga yang penuh dengan api.

Semasa pelaksanaan azab ini, Allah SWT telah menurunkan ilmu sihir kepada Harut dan Marut sebagai fitnah dan ujian ke atas umat manusia. 

Di samping itu, ia juga bertujuan untuk membezakan di antara mukjizat dan sihir. 

Walau bagaimanapun, kedua malaikat tersebut terlebih dahulu memberi peringatan tentang ujian dan fitnah tersebut kepada sesiapa jua yang ingin mempelajarinya. 

Sekiranya mereka belajar ilmu sihir dan beriktikad bahawa ia harus digunakan untuk tujuan selain daripada syariat Allah SWT, mereka akan menjadi kafir.

Peristiwa ini berlaku pada zaman Nabi Idris a.s., Rasul kedua selepas Nabi Adam a.s. 

Pada zaman tersebut, ilmu sihir telah tersebar dengan meluas dalam masyarakat. 

Lalu Allah SWT menurunkan Harut dan Marut untuk mengajar manusia perbezaan di antara sihir dan mukjizat.

Pentafsiran kisah Harut dan Marut ini termasuk dalam kisah-kisah Isra'iliyyat yang diambil dari kitab-kitab orang Yahudi. 

Walau bagaimanapun, Nabi s.'a.w. menasihatkan umat Islam agar tidak mengiyakan ahl al-kitdb dan menafikan apa yang mereka sampaikan, sebagaimana sabda Nabi s.'a.w.:

Maksudnya:
"Janganlah kamu membenarkan ahli kitab ataupun menidakkan mereka, sebaliknya katakan kami beriman dengan Allah dan segala yang diturunkan kepada kami..."
Pendirian ini adalah untuk mengelakkan umat Islam dari turut terjerumus ke dalam pembohongan Bani Israil dan orang-orang Yahudi mengenai Kitab Allah SWT. 

Di samping itu, Allah SWT telah menegaskan di dalam surah al-Ma'idah, ayat 82 bahawa orang-orang Yahudi merupakan musuh ketat umat Islam. 

Oleh yang demikian, umat Islam perlu berhati-hati dan berwaspada terhadap pembohongan mereka.

Malah umat Islam turut diwajibkan menyelidik setiap perkhabaran yang diterima daripada orang-orang yang fasik sebelum mempercayainya, lantas mengambil tindakan berdasarkan perkhabaran tersebut.


SIHIR PADA ZAMAN NABI SULAIMAN A.S.

Al-Tabari dalam menafsirkan ayat 102, surah al-Baqarah, menceritakan bahawa pada zaman Nabi Allah Sulaiman a.s, syaitan boleh naik ke langit. 

Mereka mengintai-intai dan mencuri dengar akan perintah Allah SWT kepada malaikat mengenai urusan
dunia.

Berita-berita tentang ajal-maut, penurunan hujan, kelahiran dan sebagainya diketahui melalui perbualan para malaikat sesama mereka. 

Kemudian syaitan turun ke bumi untuk mengkhabarkannya kepada tukang tenung dan ahli nujum dengan menokok-nambah apa yang didengari itu. 

Lalu ahli-ahli sihir tersebut menulis semua berita yang diterima daripada syaitan dan kemudian menyampaikan kepada orang ramai peristiwa yang bakal berlaku. 

Tidak lama kemudian, hal yang diceritakan ini benar-benar berlaku. 

Dengan ini tersebarlah berita bahawa syaitan mengetahui perkara ghaib. 

Padahal syaitan tidak mengetahui langsung tentang perkara ghaib. 

Firman Allah SWT telah menjelaskan hal tersebut:

Maksudnya:
"Katakanlah (wahai Muhammad)! Sesiapapun, baik di langit mahupun di bumi tidak ada yang mengetahui perkara ghaib kecuali Allah, bahkan mereka tidak mengetahui bila mereka akan dibangkitkan (kiamai)." (Surah al-Naml (27): 65).
Rentetan daripada peristiwa ini, Allah SWT membangkitkan Nabi Sulaiman a.s. untuk menangani masalah tersebut. 

Baginda telah mengumpulkan kitab-kitab sihir itu dan meletakkannya ke dalam sebuah peti. 

Kemudian ia ditanam di bawah takhta Baginda. 

Syaitan dan kaum kerabatnya tidak boleh menghampiri peti tersebut. 

Kalau dihampiri juga, mereka akan terbakar.

Selain daripada itu, al-Tabari menceritakan, jika ada sesiapa yang mengatakan syaitan mengetahui perkara ghaib, dia akan dihukum bunuh oleh Nabi Sulaiman a.s.

Namun setelah Nabi Sulaiman a.s. wafat, syaitan mendatangi Bani Israil dengan menyerupai seorang manusia dan menyebarkan fitnah bahawa Nabi Sulaiman a.s. bukan seorang rasul. 

Sebaliknya baginda hanyalah seorang ahli sihir. Buktinya ialah kitab-kitab sihir yang Nabi Sulaiman a.s gunakan ada tersembunyi di bawah takhta Baginda.

Susulan daripada itu, Bani Israil pergj beramai-ramai untuk menggali kitab-kitab sihir yang dikatakan tertanam di bawah takhta Nabi Sulaiman a.s. 

Apabila kitab-kitab tersebut dijumpai, sebahagian besar daripada mereka, terutamanya kalangan yang
jahil dan bodoh mempercayai bahkan meyakini tuduhan tersebut. 

Manakala para ulama pula, mereka tetap tidak mempercayai kitab tersebut kepunyaan Nabi Sulaiman a.s., sebaliknya mereka percaya dan yakin bahawa itu semua adalah fitnah yang ditimbulkan oleh syaitan.

Menurut kupasan pengarang Kitab Ma 'alim al-Tanzil, syaitan telah menulis ilmu sihir melalui Asif bin Barkhia. 

Kemudian dia menanam kitab tersebut di bawah takhta Nabi Sulaiman a.s. dan menyebarkannya di kalangan Bani Israil dengan dakwaan bahawa kitab tersebut kepunyaan Nabi Sulaiman a.s. 

Oleh yang demikian, Allah SWT telah menurunkan ayat 102 di dalam surah al-Baqarah bagi menyangkal tuduhan tersebut, sekaligus mengisbatkan kesucian iman Nabi Sulaiman a.s. serta menegaskan tentang kekufuran dan kesesatan syaitan.


SIHIR PADA ZAMAN NABI MUSA

Masyarakat pada zaman Nabi Musa a.s. terkenal dengan kehandalan bermain sihir. 

Sejarah telah mencatatkan kisah Fir'aun yang menggunakan kehebatan sihir untuk melawan dakwah Nabi Musa a.s.. 

Allah SWT menceritakan di dalam al-Qur'an bagaimana Fir'aun mengumpulkan ahli-ahli sihir bagi membantunya melawan Nabi Musa a.s.:

Maksudnya:
"Dan Fir'aun berkata (kepada orang-orangnya): "Bawalah kepadaku ahli-ahli sihir yang handal." (Surah Yunus (10) :79).
Menurut Ibn 'Abbas, Fir'aun telah berjaya mengumpulkan seramai tujuh puluh dua orang ahli sihir. 

Kesemuanya mahir mengenai sihir tali dan boleh membuatkan tongkat menjelma sebagai ular. 

Jadi, bersesuaian dengan kehebatan musuh, Allah SWT telah mengurniakan mukjizat kepada Nabi Musa a.s. iaitu boleh menukarkan tongkat menjadi ular. 

Allah SWT telah mengajar Nabi Musa a.s. perbezaan di antara mukjizat dan sihir. 

Firman Allah SWT:

Maksudnya:
Allah berfirman: "Campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa! Lalu ia mencampakkannya, maka tiba-tiba tongkatnya itu bertukar menjadi seekor ularyang bergerak menjalar." (Surah Taha (20): 19-20)
Peristiwa ini merupakan satu latihan kepada Nabi Musa a.s. agar dia tidak terkejut dan takut apabila melihat mukjizat tersebut, terutama ketika berdepan dengan ahli sihir Fir'aun. 

Apabila Nabi Musa a.s. berhadapan dengan Fir'aun, apakah yang telah berlaku? 

Allah SWT berfirman di dalam surah Taha ayat 66 dan 67 yang berbunyi:

Maksudnya:
Dia (Musa) menjawab: "Bahkan kamulah campak dahulu!" Tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda berjalan, disebabkan sihir mereka. Kemudian hati Musa merasa takut. 
Apa yang perlu diperhatikan menerusi ayat ini ialah ungkapan Allah SWT berbunyi ( يُخَيَّلُ إِلَيْهِ ). Nabi Musa a.s. telah dikhayalkan dengan bayangan ular dan beliau merasa takut. 

Firman Allah SWT lagi dalam surah Taha ayat 68 dan 69:

Maksudnya:
Kami berfirman kepadanya: "Usahlah takut (Wahai Musa), sesungguhnya engkau lebih tinggi, campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia akan menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka hasilkan, sesungguhnya apa yang mereka hasilkan itu hanyalah tipudaya ahli sihir; sedangkan ahli sihir itu tidak akan berjaya walau di mana saja dia berada.
Oleh yang demikian, Nabi Musa a.s. telah berjaya mengalahkan semua ahli sihir tersebut. 

Akhirnya mereka sujud beriman dengan Allah SWT. 

Ini adalah natijah daripada keyakinan mereka terhadap mukjizat Nabi Musa a.s.


SIHIR PADA ZAMAN NABI MUHAMMAD S.A.W.

Sejarah merakamkan bahawa RasuluUah s.'a.w. pernah disihir oleh seorang Yahudi di Madinah.

Maklumat mengenai penyihiran ini didedahkan sendiri oleh Malaikat yang diutuskan oleh Allah SWT bagi merawat RasuluUah s.'a.w. dari sihir tersebut.

Imam al-Bukhari telah meriwayatkan di dalam Kitab Sahihnya dari Sayyidatina 'Aisyah r.a., katanya:
Rasulullah s.a.w. telah disihir oleh seorang Yahudi dari Bani Zurayq iaitu Labid bin al-A 'sam sehingga terbayang kepada Rasulullah s.a.w. khayalan bahawa baginda melakukan sesuatu yang tidak dilakukannya. 
Hal ini berterusan sehinggalah pada satu hari, Baginda berada di sampingku (Aisyah) di dalam keadaan berdoa dan terus berdoa. 
Kemudian Baginda bersabda: "Wahai 'Aisyah, aku mengetahui bahawa Allah SWT telah memperkenankan permohonanku. Dua orang lelaki (Jibril dan Mikail) telah datang kepadaku. Jibril berada di kepalaku dan Mikail di kakiku. Mikail bertanya kepada Jibril: "Apakah penyakit lelaki ini?" Kata Jibril: "Dia telah disihir". "Siapakah yang menyihirnya?" Jawab Jibril: "Labid al-A 'sam ". Mikail menyambung pula: "Sihir itu dibuat menerusi apa? " Jibril menjelaskan: "Dibuat pada sikat rambut yang dililit rambut padanya, juga pada batang tamar jantan kering beserta seludangnya". Mikail bertanya lagi: "Di manakah terletaknya barang-barang tersebut? ". Jibril berkata: "Di dalam telaga Arwan."
Setelah mendengar perbualan itu, Rasulullah s.a.w. pun pergi bersama-sama beberapa orang sahabatnya ke telaga tersebut. 
Kemudian apabila Rasulullah s.a.w. pulang, baginda bersabda kepada 'Aisyah: "Wahai Aisyah! Airnya seakan rendaman inai dan mayang tamar itu seakan-akan kepala syaitan." 
Maka aku (Aisyah) berkata: "Wahai Rasulullah! Mengapakah engkau tidak mengarahkan agar ia dikeluarkan?
Rasulullah s.a.w. pun bersabda: Sesungguhnya Allah telah menyembuhkan aku, dan aku tidak suka jika tercetus daripadanya kejahatan kepada umatku.
Kemudian telaga Arwan yang terdapat di dalamnya barang-barang sihir tersebut dikambus atas perintah Rasulullah s.a.w.. 
Peristiwa ini menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. harus terkena sihir, sebagaimana harusnya Rasulullah s.a.w. demam dan seumpamanya. 

Cuma kesan yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w. tidak sepertimana yang dihadapi oleh umatnya. 

Ini adalah kerana sifatnya sebagai seorang nabi dan rasul yang terpelihara dari angkara kejahatan jin dan manusia.


KESIMPULAN

Kewujudan amalan-amalan sihir, sebagaimana dipaparkan oleh al-Qur'an dan al-Hadith membuktikan kepada umat Islam kewujudan amalan sihir dalam masyarakat.

Tambahan pula, al-Qur'an dan al-hadith adalah sumber rujukan utama umat Islam dalam apa jua bidang ilmu. 

Namun apabila diteliti kitab-kitab tafsir, kita dapati para mufassir banyak terpengaruh dengan kisah-kisah Israiliyyat dan mencedoknya untuk melengkapkan pentafsiran mereka. 

Menyentuh riwayat Israiliyyat ini, banyak kritikan dan perbahasan mengenainya telah dilakukan oleh para penyelidik dan ilmuwan Islam. 

Malah ada yang mengkritik al-Tabari kerana sebagai ulama terkenal, beliau juga turut memasukkan kisah-kisah israiliyyat di dalam kitabnya. 

Terdapat di kalangan ahli tafsir yang merujuk sumber-sumber yang tidak berautoriti, misalnya sumber Ahlal-Kitab, orang Yahudi dan sebagainya bagi mendapat maklumat mengenai sesuatu perkara. 

Ia berlaku kerana beberapa faktor yang boleh dibincangkan di dalam topik yang berasingan. 

Antara faktor yang dimaksudkan adalah para mufassir mempunyai maklumat dan sumber yang terhad mengenai sesuatu topik yang dibincangkan. 

Jadi, untuk menghuraikan persoalan-persoalan yang timbul, mereka mengumpulkan sebanyak mungkin sumber dan membentangkannya untuk penilaian pembaca.

Masalahnya tidak semua pembaca mampu menilai fakta-fakta yang dibentangkan mereka. 

Jadi, di sinilah tanggungjawab para ilmuwan dan pengkaji untuk mendedahkan kepada umum agar masyarakat tidak mempercayai perkara-perkara karut. 

Berdasarkan paparan kisah-kisah sihir di dalam al-Quran dan al-Hadith, nyata sekali peranan syaitan dan iblis dalam amalan penyihiran. 

Ilmu sihir juga berbeza dengan mukjizat. 

Sihir boleh dipelajari, manakala mukjizat merupakan anugerah Allah SWT yang dikurniakan kepada para Nabi yang terpilih sahaja. 

Kepercayaan terhadap kuasa bomoh, pawang dan syaitan, juga keyakinan bahawa mereka mengetahui perkara-perkara ghaib atau peristiwa yang bakal berlaku adalah karut semata-mata. 

Kedangkalan ilmu menyebabkan manusia mudah percaya perkara-perkara yang mustahil. 

Syaitan dan iblis tidak berkuasa untuk memudaratkan manusia tanpa izin Allah SWT dan makhluk perosak tersebut juga tidak mengetahui perkara-perkara ghaib.

Oleh:
Aizan Hj. Ali @ Mat Zin
Mohd Yakub @ Zulkifli Hj Mohd Yusoff
This concise article deals with the history ofblack magic according to the Islamic sources, especially al-Qur 'an and the Prophet's Traditions (Hadith). The Qur 'anic interpretations were based on mufassirun exegesis. By scrutinising the exegesis, it was clear that this practise was rooted from the two sinned angels who were sent to this world. Furthermore the stories extractedfrom the Qur'anic source will differentiate between black magic and mukjizat which was given by Allah s.w.t to the selected Prophets.










No comments:

Post a Comment