21 June 2021

Kerajaan pertimbang campur dua vaksin tapi WHO kata dua dos perlu vaksin yang sama


PETALING JAYA – Kerajaan mempertimbangkan kaedah pemberian campuran dua vaksin atau heterologi dalam sebahagian pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kajian itu sedang dibuat berikutan telah dilaksanakan oleh beberapa buah negara.

“Kaedah itu adalah bagi meningkatkan antibodi peneutralan serta keberkesanan sesuatu vaksin. Perkara ini sedang diteliti oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

“Kita mempunyai beberapa data ‘real-world’ yang diterima dari Jerman mengenai vaksinasi heterologi menggunakan AstraZeneca bagi dos pertama dan Pfizer untuk dos kedua,” katanya pada sesi webinar yang dihoskan oleh Oxford and Cambridge Society of Malaysia semalam.

Khairy Jamaluddin yang juga merupakan Menteri Penyelaras Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu berkata, langkah itu sememangnya sudah terbukti meningkatkan peneutralan antibodi dan menjadi lebih efektif terhadap varian, selain sesuai dilaksanakan sekiranya menghadapi kekurangan bekalan vaksin.

“Bagaimanapun, kerajaan tidak akan tergesa-gesa untuk membuat keputusan sebelum selesai mendapatkan banyak data.

“Kita akan melihat dengan teliti. Selepas kumpulan kerja teknikal jelas mengenai kajian itu, mereka memberi nasihat kepada jawatankuasa yang diketuai saya bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba sebelum vaksinasi heterologi itu dilaksanakan,” jelasnya. 

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan supaya pemberian dua dos vaksin perlu melibatkan jenis yang sama.

Bagaimanapun, saranan itu mungkin berbeza untuk tempoh masa akan datang sementara kajian masih lagi dijalankan.
 

No comments:

Post a Comment