Al-Quran merupakan sebuah kitab mukjizat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril AS. Di samping itu, di dalamnya terkandung sebanyak 114 surah. Surah yang pertama di dalam al-Quran adalah surah al-Fatihah dan membacanya merupakan salah satu daripada rukun solat.
Terdapat hadith yang menceritakan berkaitan di antara nama-nama bagi surah al-Fatihah adalah:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam (surah al-Fatihah) adalah umm al-Quran, umm al-Kitab dan al-Sab’ al-Mathani.” [Riwayat Abu Daud (1457)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah sahih]
Tambahan pula, Allah SWT menamakan surah al-Fatihah sebagai al-Sab’ al-Mathani sebagaimana yang terdapat di dalam kitab-Nya.
وَلَقَدْ آتَيْنَاكَ سَبْعًا مِّنَ الْمَثَانِي وَالْقُرْآنَ الْعَظِيمَ
al-Hijr: 87
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya.”
Di dalam hadith yang lain menurut riwayat Imam al-Bukhari ada juga disebutkan bahawa nama lain bagi surah al-Fatihah adalah al-Sab’ al-Mathani:
Daripada Abu Said bin al-Mu’alla berkata: Rasulullah SAW telah memanggilku ketika aku sedang solat, maka aku tidak menyahutnya. Aku berkata kepada Nabi SAW: Wahai Rasulullah! sesungguhnya aku sedang bersolat. Rasulullah SAW bersabda: “Tidakkah kamu pernah mendengar firman Allah berkaitan tuntutan menyahut panggilan Allah dan juga rasulnya apabila kamu dipanggil.” Kemudian Nabi SAW bersabda lagi: “Tidakkah kamu menginginkan untuk aku mengajarkan kepada kami surah yang paling agung di dalam al-Quran sebelum kamu keluar dari masjid ini?.” Setelah itu, Nabi SAW memegang tanganku. Apabila kami ingin keluar, aku berkata: Wahai Rasulullah! Sebentar tadi kamu katakan yang kamu akan mengajarkan kepadaku surah yang paling agung di dalam al-Quran. Maka Nabi SAW bersabda:
الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ، هِيَ السَّبْعُ المَثَانِي، وَالقُرْآنُ العَظِيمُ الَّذِي أُوتِيتُهُ
Maksudnya: “Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam (surah al-Fatihah) adalah tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh al-Quran yang amat besar kemuliaannya yang telah diberikan kepadaku.” [Riwayat al-Bukhari (5006)]
Adapun berkaitan maksud al-Sab’ al-Mathani menjadi khilaf dalam kalangan para ulama. Imam Mulla Ali al-Qari menyatakan maksud al-Sab’ (tujuh) adalah disebabkan surah ini mempunyai 7 ayat mengikut kesepakatan (para ulama) walaupun di sana terdapat khilaf di antara ahli Kufah dan ahli Basrah pada beberapa ayat (melihat kepada ilmu fawasil]. Dikatakan pula al-Mathani (berulang-ulang) adalah ia (al-Fatihah) sama seperti satu surah yang lain (di dalam al-Quran) atau disebabkan ayat-ayat di dalam ada yang turun di Makkah dan juga yang turun di Madinah sebagai tanda kebesarannya dan kepentingannya. Selain itu, dikatakan juga bahawa surah hanya diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW dan tidak diturunkan kepada umat yang sebelum daripadanya. [Lihat: ‘Aun al-Ma’bud, 4/232]
Antara nama lain yang disebutkan berkaitan surah al-Fatihah ini adalah Fatihah al-Kitab:
Daripada Ubadah bin al-Somit RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الكِتَابِ
Maksudnya: “Tidak ada (sah) solat bagi sesiapa yang tidak membaca Fatihah al-Kitab (surah al-Fatihah).” [Riwayat al-Bukhari (756)]
Melihat kepada beberapa hadith dan ayat al-Quran di atas, maka dapat disimpulkan bahawa surah al-Fatihah mempunyai lebih daripada satu nama. Antaranya:
➤ al-Sab’ al-Mathani➤ Umm al-Quran
➤ Umm al-Kitab
➤ al-Azhim
➤ Fatihah al-Kitab
Kesimpulannya, surah al-Fatihah merupakan salah satu surah yang amat penting sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith al-Bukhari di atas menurut riwayat Abu Said. Tambahan pula, surah al-Fatihah juga mempunyai lebih daripada satu nama sebagaimana yang diberikan oleh Allah dan juga rasul-Nya. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama. Amin.
No comments:
Post a Comment