“Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anakmu dan mengadakan untukmu kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai. Mengapa kamu tidak percaya akan kebesaran Allah?” (Nuh: 10-13)
Rezeki manusia sudah disusun cantik oleh Allah SWT, namun ia tetap memerlukan kita untuk lebih berusaha dan bersungguh-sungguh mencapai apa yang dihajatkan termasuk melakukan amalan yang boleh membuka pintu rezeki.
Pendakwah, Mohd Hassan Adli Yahaya, berkata istighfar menjadi antara kunci ‘menjemput’ rezeki yang sangat kuat kerana banyak petunjuk menunjukkan Allah SWT menurunkan rezeki kepada orang yang sentiasa beristighfar, bertaubat dan kembali kepada-Nya.
Menjelaskan lebih lanjut kelebihan istighfar, beliau menceritakan kisah ulama salaf terkemuka Imam Hasan al-Basri yang sering menjadi tempat orang ramai merujuk masalah untuk mendapat jalan penyelesaian.
Semua masalah yang dirujuk kepadanya, Hasan al-Basri akan menyuruh supaya orang itu beristighfar.
Bingung melihat perkara itu, seseorang bertanya kepadanya apakah semua masalah boleh selesai hanya dengan istighfar.
Hasan al-Basri menjawab, ia bukan penyelesaian yang beliau berikan tetapi firman Allah SWT dalam al-Quran.
Allah SWT berfirman, “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anakmu dan mengadakan untukmu kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai. Mengapa kamu tidak percaya akan kebesaran Allah?” (Nuh: 10-13)
“Oleh itu, jika Allah SWT mengampuni dosa kita, bermakna Dia suka kepada kita dan akan dikurniakan rezeki melimpah-ruah. Namun, jangan anggap sudah cukup istighfar sahaja, sebaliknya perkara wajib lain masih perlu dibuat,” katanya.
Beliau mengingatkan kelebihan beristighfar sangat penting dan besar. Rasulullah SAW yang maksum dan dijanjikan syurga sendiri beristighfar dengan penuh penghayatan sebanyak 70 hingga 100 kali sehari.
Justeru katanya, kita perlu memperbanyakkan istighfar dan taubat kerana keutamaannya yang sangat besar dan Allah SWT yang memerintahkan hamba-Nya supaya sentiasa beristighfar serta bertaubat kepada-Nya.
Mohd Hassan berkata, walaupun rezeki, jodoh dan ajal berada dalam ilmu Allah SWT hingga manusia tidak tahu apa yang akan diterimanya, Allah SWT tidak menafikan usaha hamba-Nya berikhtiar, bertawakal dan berdoa sebagai kebergantungan kepada-Nya.
Beliau berkata, hamba perlu berusaha seperti burung yang keluar waktu pagi mencari makanan tanpa mengetahui nasibnya, tetapi pulang pada petang hari membawa makanan kerana usaha dan kebergantungan kepada Allah SWT.
“Kita sudah tahu rezeki setiap bulan akan mendapat gaji dan ia masih dalam konsep tawakal. Kita mampu pergi kerja kerana badan sihat dan apabila sudah melaksanakan tanggungjawab, lalu diberi gaji yang menjadi rezeki kita.
“Sekiranya Allah SWT mahu menukar takdir hamba-Nya, ia boleh sahaja kerana itu menjadi hak-Nya. Tugas hamba adalah melakukan setiap suruhan-Nya, jangan berputus asa dan bersangka buruk kepada-Nya,” katanya.
Beliau mengambil contoh kepada kisah Imam Ahmad Hanbal dengan penjual roti. Beliau yang bermusafir, singgah di satu perkampungan dan berniat untuk tumpang bermalam di masjid tetapi tidak dibenarkan kerana beliau orang luar.
Kebetulan, penjual roti bertanya kepada Imam Ahmad dan apabila dimaklumkan keadaannya, lelaki itu mengajaknya ke rumah. Pada malamnya, Imam Ahmad mendengar penjual roti beristighfar sambil membuat roti.
Pada siangnya, Imam Ahmad bertanya kenapa beliau beristighfar sepanjang membuat roti, lelaki itu berkata, beliau banyak dosa kerana Allah SWT mengurniakan pelbagai rezeki tetapi satu doanya belum termakbul.
Mohd Hassan berkata, penjual roti itu teringin berjumpa ulama besar, iaitu Imam Ahmad. Mendengar jawapan itu, Imam Ahmad memberitahu, beliaulah orang yang ingin ditemuinya itu.
“Allah mengaturkan Imam Ahmad untuk tidur di rumah penjual roti itu. Begitulah hebatnya kuasa istighfar. Oleh itu, apabila diberi nikmat, itu adalah kurniaan Allah dan andai tidak dapat apa yang diinginkan, jangan sekali-kali menyalahkan Allah sebaliknya bermuhasabah diri,” katanya.
“Sebenarnya kita yang zalim kepada diri. Jika ada yang rasa dia tidak bersalah atau tidak berdosa, itu satu masalah besar. Perbanyakkan istighfar memohon keampunan kepada Allah SWT semoga kita dimurahkan rezeki, lakukan dengan penuh penghayatan,” katanya.
Sumber: BeritaHarian
No comments:
Post a Comment