15 July 2020

COVID-19: Kajian KKM mendapati antibodi pesakit berkurangan selepas 8 minggu

PUTRAJAYA (14 Julai 2020): Kajian dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati antibodi yang yang terbina dalam kalangan pesakit COVID-19 berkurangan selepas lapan minggu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dalam satu kajian terhadap kluster Sungai Lui, yang masih belum dilapor dan diterbitkan KKM mendapati antibodi yang terbina hanya 20 peratus selepas tiga bulan.

Katanya, dapatan serupa juga dimaklum oleh delegasi perubatan China yang datang ke negara ini pada April lalu, apabila kajian mereka mendapati antibodi pesakit COVID-19 kira-kira 17 hingga 18 peratus.

"Kita dapati selepas tiga bulan, dalam kluster di Sungai Lui, antibodi terbina dalam kalangan pesakit hanya 20 peratus.

"Sepatutnya apabila mereka dijangkiti, antibodi akan meningkat 80 hingga 90 peratus dan kalau antibodi meningkat baru boleh ada 'herd immunity' (imuniti kelompok) tetapi tindak balas antibodi berkurangan.

"Baru-baru ini ada kajian di United Kingdom mendapati antibodi dikesan hanya 17 peratus," katanya pada sidang media COVID-19 di sini, hari ini.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata, timbul dua persoalan sama ada pesakit yang pernah dijangkiti, boleh dijangkiti semula dan sekiranya vaksin itu nanti akan dapat merangsang tindak balas antibodi dalam kalangan pesakit.

Katanya, pihaknya mahu melihat sama ada vaksin baharu itu mampu merangsang antibodi secara berkekalan atau hanya sementara.

"Jika ia tidak berkekalan maka kita tidak mendapati 'herd immunity'," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM bimbang jika rakyat mula leka dan kembali kepada kehidupan normal serta tidak lagi mengendahkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kementerian itu sehingga menyebabkan COVID-19 kembali merebak.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, jangkitan import pula bukan dalam kawalan KKM.

Bagaimanapun, kementerian akan terus memastikan setiap individu yang pulang disaring di pintu masuk negara dan menjalani kuarantin di rumah.

Sumber: Berita Harian

اَللّٰهُ أَعْلَم


   

No comments:

Post a Comment