10 January 2024

إِنَّا لِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُون




اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهَا وَارْحَمْهَا وَعَافِهَا وَاعْفُ عَنْهَا
Ya Allah! Ampunilah almarhumah, berilah dia rahmat-mu, kesejahteraan, serta maafkanlah kesalahannya. أمين

Mungkin satu-satunya manusia di dunia yang saya akan usaha untuk beri wang sedekah, walaupun hanya beberapa puluh sen sahaja.

Sikap saya yang agak keterlaluan dalam hal memberi sedekah kepada Allahyarmah atas sebab kejadian yang menimpa saya, selepas saya enggan memberi wang sedekah kepadanya.

Saya masih ingat dengan jelas apa yang berlaku sebelum saya diberi kesedaran untuk menghulur wang sedekah kepadanya.

Kalau saya tak silap, ia berlaku diawal tahun 2017. 

Saya berada di sebuah kedai kopi apabila Allahyarhamah datang meminta wang.

Ketika dia sampai di meja sebelah meja saya, dia tanya seorang lelaki : "Da duit sik?"

Lelaki tersebut berkata dia hendak bertanya soalan yang sama kepada Allahyarhamah.

Lelaki : "Da duit sik?"
Allahyarhamah : "Sik da."
Lelaki : "Sama la kita sik da duit!!!"

Lelaki tersebut kemudiannya ketawa terbahak bahak.

Saya yang berada dimeja sebelah turut ketawa dengan gurauan lelaki tersebut.

Allahyarhamah kemudian pergi ke meja saya.

Dia bertanya soalan yang sama : "Da duit sik?"

Saya menjawab : "Sik da."

Kalau saya tak silap, itulah kali pertama saya berkomunikasi dengannya.

Selepas mendengar jawapan saya, Allahyarhamah beredar ke meja seterusnya.

Saya tak ingat butiran perbualan Allahyarham dengan seorang pelanggan lelaki yang dihampiri Allahyarhamah selepas beredar dari meja saya.

Tapi lelaki tersebut turut bergurau dengan Allahyarhamah - dan saya merasa terhibur dengan gurauan tersebut.

Saya tak ingat apa yang berlaku selepas itu.

Beberapa jam kemudian, ketika itu hari sudah malam, saya kehabisan rokok.

Isteri dan anak saya tiada dirumah kerana mereka tidur dirumah mertua saya.

Saya keluar rumah untuk membeli rokok.

Selepas membayar harga rokok menggunakan wang kertas RM50, saya simpan baki wang kira-kira RM30 kedalam beg sandang saya.

Saya terus balik rumah selepas membeli rokok. 

Dan saya tidur awal malam itu.

Jeng jeng jeng ... Saya bermimpi melihat seorang wanita tua berpakaian lusuh yang agak bongkok, berjalan sambil memegang kaleng (cawan besi besar).

Saya merasa kasihan melihatnya, dan saya menghampiri wanita tua tersebut dengan tujuan untuk membantunya berjalan.

Seingat saya, saya ada memegang lengan atasnya untuk membantunya berjalan.

Mimpi saya terhenti di situ.

Keesokan hari, saya hendak bersarapan di kedai.

Saya terkejut apabila wang lebihan selepas membayar rokok malam tadi, tiada dalam beg sandang saya.

Saya mencari merata-rata tempat, dalam dan luar rumah.

Malangnya tidak menjumpai wang tersebut.

Hilang!!! Ghaib!!!

Wallahua'lam.

Saya berpendapat mimpi dan kehilangan wang disebabkan sikap saya yang terikut-ikut mempersendakan Allahyarhamah semalam.

Sejak hari itu, saya berusaha untuk menghulurkan wang kepada Allahyarhamah.

Saya selalu menggesa Allahyarham agar membaca Surah alFatihah sebelum memberi wang kepadanya.

Selain itu, saya juga sering meminta Allahyarhamah untuk mengikuti bacaan doa ayat 8 Surah at-Tahrim bersama saya.

Tapi ditahun-tahun akhir, saya tidak lagi berbuat demikian kerana setiap kali Allahyarhamah membaca Surah alFatihah atau membaca doa, suaranya nyaring.

Saya merasa kurang selesa dengan pandangan orang sekeliling.

Atas sebab itu saya menghentikan bacaan Surah alFatihah dan doa ayat 8 Surah at-Tahrim.

Kadang-kadang Allahyarhamah duduk semeja dengan saya.

Saya sering bertanya khabar Allahyarhamah - Sihat? Dah makan? Banyak dapat duit hari ini? Dan macam-macam lagi.

Allahyarhamah ada mengadu tentang kehidupannya pada saya.

Saya hanya mendengar keluhan Allahyarhamah tanpa memberi sebarang nasihat.

Biarlah keluhan Allahyarhamah menjadi rahsia diantara kami.

Ada juga kejadian lucu yang berlaku ketika saya duduk semeja dengan Allahyarhamah. 

Ada satu kejadian dimana dia bertanya rakan saya sama ada mahu kahwin dengannya.

Saya ketawa terbahak-bahak kerana tak menyangka sama sekali Allahyarhamah akan bertanya soalan seperti itu.

Jawapan spontan rakan saya melucukan.

Tapi biarlah ia rahsia diantara kami bertiga!

🤣🤣🤣

Saya hampir menangis bila menerima berita kematian Allahyarhamah.

Saya berjaya menahan emosi sedih saya kerana saya tidak mahu orang disekeliling saya merasa hairan - mengapa saya menangis.

Sukar untuk saya tidak merasa sedih apabila mungkin satu-satunya manusia yang saya sentiasa berusaha untuk memberi sedekah, meninggal dunia 😞.

Jika saya gagal memberi wang kepadanya hari ini, biasanya saya akan mencarinya keesokan hari, untuk memberi wang kepadanya.

Allahyarhamah dikenali ramai dengan panggilan Siti Tiga Ringgit kerana Allahyarhamah akan bertanya : "Da tiga ringgit?"

Tapi pertanyaan ini, berdasarkan pengalaman saya, hanya dibuat ditahun-tahun akhir Allahyarhamah.

Mungkin ada seseorang menasihati Allahyarhamah untuk menukar soalannya dari "Da duit?" ke "Da tiga ringgit?". Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment