25 December 2020

Selawat Ibrahimiyah


Selawat Ibrahimiyah adalah selawat yang dibaca pada separuh kedua dalam bacaan Tahiyyat Akhir di dalam solat.

Selawat Ibrahimiyah dalam Tahiyat Akhir adalah sunat haiah bagi mazhab Shafie dan wajib bagi mazhab Hambali.

Begitu besar penghargaan yang Allah berikan kepada Nabi Ibrahim, sehingga selawat kepadanya disyiarkan dalam solat kita.

Selawat ini menggabungkan dua ucapan salam dan hormat ke atas kedua-dua Nabi Muhammad SAW dan Nabi Ibrahim a.s. .

Terdapat hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim r.a. dan Imam Ibnu Khuzaimah r.a. yang menganjurkan agar kita berselawat ke atas kedua-dua Nabi Besar SAW itu.

Lafaz selawat ini sebagus-bagus, selengkap-lengkap dan sesempurna lafaz ke atas junjungan Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Sebab itu selawat ini ditentukan bacaannya di dalam solat.

Ibnu Taimiyyah berkata, “Selawat yang paling sempurna untuk Rasulullah adalah Selawat Ibrahimiyah.”


Fadhilat Selawat Ibrahimiyah

1. Mendapat pahala yang besar kerana selawat ini tergolong sebagai selawat utama.

2. Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sesiapa yang membaca selawat ini, nescaya aku saksikan baginya di hari qiamat dengan pengakuan dan aku beri syafaat baginya.”

3. Berkata setengah ulama; “Sesiapa membaca selawat ini 1000 kali, InsyaAllah dia akan bertemu Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam di dalam tidurnya.”

4. Menurut Ahmad As-Shawi; “Sesiapa membaca selawat ini akan mendapat syafaat dan pertolongan Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam di hari Qiamat.“


Keistimewaan Nabi Ibrahim a.s.

1. Selawat Ibrahimiyah

Diberi penghormatan dalam zikir dan setiap Ibadah solat dengan berselawat kepada Baginda a.s. dalam Tahiyat Akhir.

وَتَرَ‌كْنَا عَلَيْهِ فِي الْآخِرِ‌ينَ ﴿١٠٨

Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian. (QS. 37:108)


2. Ibadah Haji

Haji juga banyak berhubung kait kepada Nabi Ibrahim a.s., seperti ibadat Tawaf (setiap kali Tawaf akan melalui Maqam Ibrahim), Telaga Zam-Zam, dan juga Saie antara Safa’ dan Marwah yang secara tidak langsung mencontohi perlakuan isterinya Siti Hajar.


3. Ibadah Korban Dan Hari Raya Aidiladha

Peristiwa kesanggupan dan pengorbanan agung nabi Allah Ibrahim untuk ‘mengorbankan’ anaknya (Nabi Ismail), demi melaksanakan perintah Allah menjadi ingatan dan iktibar setiap kali musim haji dan sambutan Aidiladha.

Kepatuhan dan ketaatan Nabi Ibrahim dan Ismail untuk melaksanakan perintah Allah itu adalah simbolik kepada ibadat korban yang dilakukan oleh umat Islam.

Kisah ini tercatat terutamanya dalam Surah ke 37, iaitu As Shaffat; ayat 101 – 111.


4. Tempat-Tempat Mulia

Makkah dan Masjidil Haram itu sinonim dengan Nabi Ibrahim seperti mana Madinah dan Masjid Nabawi itu dikaitkan dengan Nabi Muhammad SAW, kedua-duanya adalah tempat tersuci dan mulia dalam agama Islam.


5. Surah Ibrahim

Tercatat surah khusus untuk Baginda a.s. di dalam Al Quran, iaitu pada surah ke 14 yang mengandungi 52 ayat.


6. Doa Di Abadikan Dalam Al Quran

Banyak ayat-ayat Al Quran yang menyebut tentang cerita Nabi Ibrahim, termasuk doanya ketika meninggalkan anak dan isteri tercinta di wadi yang kering kontang, doanya untuk penduduk Makkah, doanya untuk zuriatnya (surah ibrahim – 37, 40, AlBaqarah 126), perintah menjadikan makam Ibrahim itu tempat solat (al Baqarah 125).


7. Kisah Nabi Ibrahim Dan Burung Kecil

Sebuah kisah di zaman Nabi Ibrahim, semasa Nabi Ibrahim dibakar oleh Raja Namrud kaumnya, dengan api menjulang tinggi selama 40 hari 40 malam, seekor burung kecil terbang berulang-alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukannya berulangkali.

Tingkah lakunya diperhatikan oleh makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu,

“Buat apa kau penat-penat mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Ibrahim takkan terpadam dengan air yang kau siramkan itu?”

Lalu dijawab oleh burung tersebut,

“Memang ia tidak akan memadamkan api tersebut, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya samada aku berjaya memadamkan api itu ataupun tidak.”


Berselawat Kepada Dua Nabi

Kita melakukannya disebabkan sebab-sebab berikut :

1. Nabi Muhammad SAW sendiri mengajarkannya dan memberikan contohnya kepada kita, walhal kita wajib mengikuti ajaran Baginda SAW. Firman Allah Ta’ala;

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا

“…..Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. ….” ( Al-Hasyr : Ayat 7 )


2. Ianya merupakan satu penghormatan kepada Nabi Ibrahim a.s yang digelar sebagai ‘Bapa Para Nabi a.s.’ . Apatah lagi Nabi Muhammad SAW sendiri berasal daripada keturunan Nabi Ibrahim a.s. . Sekaligus Baginda a.s adalah datuk kepada Rasulullah SAW dan juga datuk kepada semua umat Muhammad SAW.


3. Nama Nabi Ibrahim a.s kekal di dalam bacaan Tahiyat di dalam solat kita, adalah merupakan satu penghormatan & doa yang dikabulkan oleh Allah Ta’ala kepada Baginda a.s.

Firman Allah Ta’ala yang menggambarkan kisah permohonan doa Nabi Ibrahim a.s kepada-Nya :

رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ (83) رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ (84

“(Nabi Ibrahim berdo’a): “Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang soleh, ( 83 ) . Dan jadikanlah aku buah bicara yang baik bagi orang-orang (yang datang) kemudian (84 ).” (Surah Asy-Syu’araa)


4. Nabi Ibrahim a.s digelar sebagai ‘Khalilullah’, manakala Nabi Muhammad SAW pula digelar sebagai ‘Habibullah’.

Kedua-dua gelaran itu bermakna: ‘KEKASIH ALLAH TA’ALA’, akan tetapi perkataan ‘Habib’ pada ‘Habibullah’ itu lebih kepada yang paling dikasihi oleh Allah Ta’ala.

Jadi, Nabi Muhammad SAW merupakan makhluk yang paling dikasihi dan dicintai oleh Allah Ta’ala.

Dan dengan berselawat ke atas kedua-dua Nabi Besar SAW itu, ianya merupakan satu penghormatan juga kepada Baginda Nabi Muhammad SAW.

Selawat Ibrahimiyah di atas menekankan keperluan kita menghayati perjuangan Nabi Ibrahim a.s. untuk diambil iktibar dan pengajaran yang sewajarnya dalam kehidupan kita sehari-hari.



اَللّٰهُ أَعْلَم

   

No comments:

Post a Comment