14 March 2022

Garam Dalam Paracetamol Meningkatkan Risiko Serangan Jantung, Strok Dan Kematian


LONDON, 12 Mac 2022 – Kajian terhadap 300,000 rakyat Britain mendapati garam ‘tersembunyi’ dalam paracetamol mampu meningkatkan risiko serangan jantung dan strok jika ia diambil dalam kuantiti berlebihan.

Paracetamol yang mempunyai ciri-ciri berbuih dan larut itu mengandungi 0.44 gram dan 0.39 gram natrium bagi sebiji paracetamol 0.5 gram serta sering digunakan sebagai ubat tahan sakit.

Penyelidik dari Central South University, Changsa, China dan Harvard Medical School, Boston mendedahkan bahawa semakin lama seseorang mengambil paracetamol yang kaya dengan garam, semakin tinggi risiko untuk mendapat penyakit kardiovaskular dan kematian mereka.

Kajian dijalankan terhadap pesakit yang mempunyai tekanan darah tinggi lalu diberikan paracetamol yang tinggi natrium dan pesakit yang mempunyai penyakit sama tetapi diberikan jenis paracetamol tanpa natrium.

Penyelidikan itu juga dijalankan terhadap pesakit tanpa tekanan darah tinggi lalu diberi preskripsi paracetamol yang mengandungi natrium manakala pesakit tanpa tekanan darah tinggi diberi paracetamol tanpa kandungan natrium.

Kajian itu dijalankan selama setahun dan melibatkan pesakit berumur 60 dan 90 tahun.

Hasil daripada kajian itu, 5.6 peratus pesakit tekanan darah tinggi yang mengambil paracetamol bergaram berisiko mendapat penyakit kardiovaskular berbanding 4.6 peratus pesakit yang mengambil paracetamol tanpa garam.

Malahan, individu yang mengambil paracetamol yang tinggi garam berisiko untuk mati iaitu sebanyak 7.6 peratus berbanding individu yang mengambil paracetamol tanpa garam iaitu sebanyak 6.1 peratus.

Pesakit yang mempunyai tekanan darah tinggi berisiko lebih tinggi untuk mendapat penyakit jantung atau mati sekiranya mereka mengambil paracetamol yang tinggi garam.

Bukan itu sahaja, 4.4 peratus pesakit yang tidak mempunyai darah tinggi tetapi mengambil paracetamol yang mengandungi garam mengalami serangan jantung berbanding 3.7 peratus dari mereka yang mengambil jenis paracetamol lain.

Profesor Aletta Schutte dari University of New South Wales dan Profesor Bruce Neal dari Imperial College London menekankan bahawa pengambilan pil jenis berbuih dan tinggi natrium harus dikurangkan.

Menurut mereka, maklumat itu harus disebarluaskan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai berkenaan natrium tersembunyi dalam ubat-ubatan dan pendidikan mengenai keperluannya.

No comments:

Post a Comment