06 November 2020

Sakit buah pinggang : Punca dan tip penjagaan

Puncanya adalah penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis. 

Buah pinggang adalah organ penapis darah kita. 

Selepas makanan dicernakan dan diproses untuk kegunaan badan, akan terhasil bahan kumuh yang perlu dikeluarkan. 

Bahan kumuh yang tidak diperlukan tersebut seperti urea akan dibuang melalui buah pinggang.

Jika penapisan baik, segala bahan kotor itu akan dikeluarkan tanpa berbaki. 

Namun jika buah pinggang rosak, segala bahan yang tidak diperlukan oleh badan akan berlegar-legar dalam darah kerana tidak dapat dikeluarkan.

Maka akan timbullah pelbagai tanda seperti:

i) terlalu letih
ii) lemah badan
iii) kurang selera makan
iv) masalah tidur
v) pemikiran berserabut
vi) kulit gatal dan berwarna kusam
vii) kaki bengkak
viii) sesak nafas dan nafas berbau urin (aroma air kencing).


Punca utama penyebab kegagalan buah pinggang di Malaysia adalah penyakit kencing manis.

Dr Ghazali Ahmad, Pakar Perunding Nefrologi pernah mengulas isu ini. 

Kata beliau, sebab utama penyakit buah pinggang kronik di Malaysia ialah diabetes.

62 peratus daripada 7,050 pesakit baru yang memulakan rawatan dialisis berkekalan pada tahun 2014 adalah pesakit diabetes. 

Tiga faktor risiko tertinggi penyakit buah pinggang daripada kajian 900 orang awam di Semenanjung Malaysia pada tahun 2012 ialah diabetes, peningkatan umur dan tekanan darah tinggi.

Dr Rafidah Abdullah, Pakar Perunding Buah Pinggang pernah memberi nasihat dalam tulisan beliau mengenai pesakit yang sudah mengalami kegagalan buah pinggang supaya menjaga kaedah pemakanan mereka. 

Pemakanan yang betul ini boleh menjamin kesihatan yang optimum dan mengelakkan kegagalan yang semakin parah ke atas buah pinggang pesakit.

Berikut adalah tulisan beliau: 

Ini adalah info umum langkah-langkah “eating right” untuk pesakit kronik buah pinggang yang belum dialisis (cuci buah pinggang).

Langkah 1
Kurangkan garam (juga garam tersembunyi) dan makan yang segar (jangan yang diproses). Maksud saya garam tersembunyi adalah kicap, sos, sos tiram, kiub perasa, mi segera, mi kuning. Rumah saya tidak ada garam dan benda-benda yang disenaraikan ini. Yang diproses termasuk bebola ayam, sosej, burger, makanan dalam tin. Kalau boleh elakkan, tetapi kalau sekali sekala hendak makan OK lah; sekadar merasa.

Langkah 2
Jaga kuantiti protein. Kurangkan sedikit kuantiti protein tetapi bukan tidak makan langsung. Jenis protein yang elok adalah ayam, ikan dan telur. Kalau banyak sangat protein (contohnya makan 10 daging steak sekali gus), akan membebankan buah pinggang. Tidak makan langsung pun tidak boleh, jangan keliru. Bersederhana.

Langkah 3
Makanan elok untuk jantung adalah tidak berlemak. Ini kerana buah pinggang dan jantung berkait rapat. Elakkan yang goreng-goreng, lebihkan yang panggang dan kukus.


Apa-apa pun ini umum, setiap pesakit mungkin lain. 

Jadi berinteraksilah dengan pengamal perubatan yang merawat. 

Dan sekali lagi ‘jangan sentuh produk’ tanpa berbincang dengan doktor merawat. 

Jangan ada yang menggunakan info ini untuk promosi produk pulak. 

Sebabnya kesemua ini elok yang segar, bukan yang sudah jadi apa-apa produk. 

Rajin-rajinlah ke pasar atau supermarket yang menjual bahan-bahan segar.

Penegasan yang dibuat oleh Dr Rafidah di atas perlu diambil serius oleh para pesakit dan saudara mara yang menjaga pesakit. 

Kita mahu mengelakkan bebanan yang semakin tinggi kepada buah pinggang.

Sudahlah buah pinggang terbeban dengan kencing manis dan darah tinggi, pesakit pula tidak berpantang langsung dalam pemilihan makanan mereka. 

Beringat sebelum kena. Jika sudah kena kehidupan anda akan merana sepanjang hayat.


Tips berikut mungkin boleh membantu anda dalam penjagaan buah pinggang.

1) Kurangkan tekanan darah. 
Jangan biarkan penyakit darah tinggi anda bermaharajalela tanpa sebarang ubatan yang sesuai. Doktor akan memberikan ubat yang telah terbukti boleh membantu pemulihan buah pinggang anda seperti ACE-Inhibitor dan Angiotensin II Receptor blocker. Selain daripada itu, adalah penjagaan makanan dan bersukan.

2) Urus paras gula anda seoptimum mungkin. 
Jika anda berpenyakit kencing manis, selalulah bertemu doktor untuk dapatkan khidmat nasihat dan ubatan yang sesuai. Jangan cepat terpengaruh dengan jurujual jalanan dan jurujual maya. Produk mereka tidak mempunyai rekod kajian klinikal pun. Mereka hanya menjadikan testimoni sebagai ukuran. Ibarat kata, pelanggan mereka akan dijadikan bahan ujikaji makmal secara tidak langsung. Masalahnya testimoni sedemikian adalah tanpa kawalan dan kaedah yang betul. Sekali anda kena kesan sampingan produk tersebut, siapa yang akan bertanggungjawab?

3) Berhenti merokok sekarang juga! 
Bahan yang terdapat dalam rokok adalah punca yang paling bahaya kepada sistem penurasan buah pinggang. Jika anda tidak bermotivasi untuk berhenti merokok, silalah datang ke klinik untuk kami berikan nasihat sepatutnya dan ubat yang sepadan. – HARAKAHDAILY 25/9/2018

اَللّٰهُ أَعْلَم

t.me/alSirulKhafiyu
 

No comments:

Post a Comment